Pada minggu pertama selepas anda bersalin, anda mungkin dapati payudara anda sangat bengkak, sakit, berdenyutan, berbenjol serta terasa penuh dan tidak selesa. Kadang-kala bengkak itu sampai ke bawah ketiak. Anda mungkin ada demam juga. Jangan risau keadaan ini adalah hanya sementara, meskipun sakit.
Apa yang menyebabkan bengkak susu?
Antara dua hingga enam hari selepas bersalin, susu badan yang mula terhasil limpah-limpah atau tersedia untuk bayi anda. Sementara itu berlaku, lebih banyak darah mengalir ke payudara anda, dan sesetengah tisu disekelilingnya bengkak. Akibatnya? Payudara menjadi penuh dan bengkak.
Bukan semua ibu baru mengalami bengkak payudara yang sebenarnya. Sesetengah wanita dapati payudara mereka hanya menjadi lebih penuh sedikit, tetapi yang lain pula mendapati payudara mereka telah menjadi lebih besar dan keras. Walaupun begitu, payudara bengkak sepatutnya hanya keadaan yang sementara sahaja - selagi bayi anda melekap dengan betul dan diberi susu sekerap yang dia kehendaki, bengkak anda akan cepat reda.
Bagaimana merawatnya?
Pertama, ingatlah bahawa payudara bengkak adalah tanda yang positif: Anda sedang menghasilkan susu untuk menyusui bayi anda, dan tidak lama selepas itu, anda akan menghasilkan jumlah yang sesuai.
Sehingga masa itu:
• Pakai bra menyusu yang menyokongkan, termasuk pada waktu malam. Pastikan ianya padan dengan sesuai dan tidak terlalu ketat.
• Menyusu dengan kerap, setiap dua atau tiga jam, walaupun anda terpaksa mengejutkan bayi anda dari tidur. Pastikan bayi anda diberi kedua-dua belah payudara pada setiap penyusuan - cuma pastikan sebelah yang pertama telah disalirkan dengan sempurna sebelum memberikan sebelah lagi.
• Ianya mungkin sukar untuk bayi anda melekap pada payudara anda apabila areola - kawasan kulit gelap disekeliling puting - adalah sangat keras. Untuk memastikan bayi anda melekap dengan betul, perah dengan tangan atau pam susu itu sehingga areola itu menjadi lembut. Ia mungkin lebih senang untuk memerah susu selepas letakkan tuala panas pada dada atau selepas mandi; air suam mandian itu mungkin akan menyebabkan lelehan yang cukup untuk lembutkan areola. Ini mungkin akan memakan masa. Sabarlah, dan teruskan mencuba!
• Jika payudara terlalu penuh dengan susu, menggunakan pam sekali-sekala untuk mengeluarkan susu berlebihan adalah elok dan tidak akan memburukkan keadaan. Penghasilan susu berlebihan hanya akan berlaku jika seorang ibu mengepam melebihi keperluan bayinya apabila dia sudah menyusu dengan baik.
• Semasa bayi sedang menyusu, sesetengah ibu mendapati ia membantu untuk mengurut payudara yang sedang dihisap. Ini menggalakkan aliran susu dan akan tolong melegakan sedikit ketegangan dan ketidakselesaan.
• Sesetengah wanita dapati meletakkan daun hijau sayur kubis segar pada payudara mereka boleh membantu - walaupun tiada bukti untuk menyokongnya. Daun kubis itu mungkin ada kesan penyejukkan tetapi ia tidak dapat mengubati penyebab sebenar payudara bengkak.
• Jika anda betul-betul kesakitan, ambil ubat penahan kesakitan seperti parasetamol.
• Pandang ke masa hadapan: Anda akan melepasi fasa ini dengan cepat dan tidak lama lagi dapat menikmati hubungan penyusuan dengan bayi anda yang sedang berkembang.
Berapa lamakah ia akan berlarutan?
Mujurnya, payudara bengkak selalunya berlalu dengan agak cepat. Anda boleh menjangkakan ia akan berakhir dalam masa 24 hingga 48 jam, dan menyusukan bayi anda dengan kerap dan efisien akan lebih membantu.
|babycentre.com|
Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone